Cegah Buli dari Awal: Peranan Ibu Bapa

Cegah Buli dari Awal: Peranan Ibu Bapa

Dr Norazly Nordin

Penolong Professor, Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman Cawangan Sabah

Monday, 18 August 2025

TL;DR

  • Pencegahan mesti bermula dari rumah kerana institusi keluarga adalah sekolah pertama buat anak-anak

  • Empati perlu ditanam menggunakan pendekatan 3H: Head (kognitif), Hand (praktikal), Heart (penghayatan)

  • Usia enam tahun pertama adalah "span serap" yang menyimpan setiap teladan daripada ibu bapa

  • Kawalan media bukan sekadar had masa skrin, tetapi juga memantau kandungan dan etika penggunaan media

  • Ibu bapa menjadi "pengesan awal" perubahan tingkah laku melalui komunikasi dua hala yang selamat

Gejala buli bukanlah perkara baru yang kita dengar malah sudah mengakar dalam kehidupan seharian terutama para murid di sekolah. Masalah ini juga semakin menular dalam kalangan orang dewasa dan membawa kepada satu terma baharu iaitu buli siber. Buli ini bukan sekadar gurauan, ianya merupakan satu tindakan yang disengajakan untuk menyakiti orang lain baik dari aspek fizikal, lisan, emosi, sosial, mental dan kini di media siber. Gejala ini memberikan kesan jangka panjang kepada perkembangan seseorang terutama dari aspek psikologi dan emosi. Jika kita soroti laporan terhadap kes buli di sekolah ini meningkat saban tahun dan lebih parah lagi ada sampai melibatkan kematian. Pencegahan secara tuntas perlu dilakukan segera dan ini memerlukan satu usaha yang kolektif. Pencegahan juga harus bermula dari rumah kerana institusi keluarga merupakan sekolah pertama buat anak-anak.

Jadikan rumah tempat anak-anak mengenal kebaikan

Orang tua-tua dahulu pernah berpesan, “Rumahku, syurgaku.” Pesanan ini perlu dihidupkan kembali dalam masyarakat hari ini. Rumah bukan sekadar atap yang melindungi daripada hujan dan panas, tetapi benteng kasih sayang, ruang aman untuk membentuk sahsiah, dan madrasah pertama bagi anak-anak. Ibu bapa perlu berusaha menjadikan rumah ibarat syurga yang bukan hanya lengkap secara material, tetapi subur dengan nilai murni. Apabila keperluan emosi anak dipenuhi, mereka tidak perlu mencari pengganti kepuasan itu di luar rumah.

Jangan hanya terperangkap dengan pencapaian akademik. Anak-anak perlu diasuh dengan sifat empati yang berupaya menjadi kuasa dalaman yang mengawal tingkah laku mereka. Empati mengajar anak memahami dan merasai kesusahan orang lain, sekaligus melahirkan toleransi, penghargaan terhadap perbezaan, sifat berkongsi, dan keinginan membantu. Orang dahulu berpesan, “Ambil kemili gantung di lengan, bagaimana hati diri, begitu hati teman.”

Untuk menanamkan empati, ingat petua 3H: Head, Hand, Heart. Mulakan dengan proses kognitif (head) seperti bacakan buku cerita sarat nilai seperti Kisah Semut dan Belalang, A Sick Day for Amos McGee, atau The Giving Tree. Kemudian teruskan dengan tindakan praktikal (hand), memanfaatkan situasi harian sebagai latihan hidup. Akhir sekali, garap penghayatan (heart) menerusi bantu anak merenung dan merasai makna kebaikan itu.

Ingat, anak-anak belajar paling cepat melalui apa yang mereka lihat. Usia enam tahun pertama adalah “span serap” yang menyimpan setiap teladan. Nasihat semata tidak cukup jika ibu bapa tidak menjadi modelnya. Action speaks louder than words—keluarga harus mempamerkan tingkah laku positif agar ia menjadi rujukan anak-anak.

Rumah yang menjadi syurga akan membekalkan anak dengan bekalan nilai dan kasih sayang untuk dibawa ke dunia luar. Jika rumah gagal menjadi syurga, anak akan mencari “syurga” itu di luar dan belum tentu yang ditemuinya adalah kebaikan.

Kawal Penggunaan Media

Media boleh menjadi “tapak semaian” budaya buli dalam minda anak-anak jika tidak dikawal dengan bijak. Anak kecil yang kerap menonton kandungan berunsur keganasan, pergaduhan, ejekan, atau perbuatan merendahkan orang lain akan mudah terpengaruh, lalu menganggap ia cara biasa untuk menyelesaikan konflik. Lebih membimbangkan, apabila sesetengah selebriti dan pempengaruh mempamerkan sikap menghina atau “membahan” secara terbuka, anak-anak yang mengagumi mereka akan terdorong meniru perbuatan itu demi kelihatan “cool” atau popular. Situasi menjadi lebih parah apabila trend dan “challenge” berbahaya seperti usik-mengusik atau memalukan orang lain kian menular di media sosial. Walaupun dilihat sebagai gurauan atau sekadar hiburan, hakikatnya ia boleh berkembang menjadi perlakuan buli di dunia nyata.

Di sinilah peranan ibu bapa menjadi benteng utama. Kawalan penggunaan media bukan sekadar menetapkan had masa skrin, tetapi juga memantau kandungan yang ditonton, mengajar etika bermedia, memodelkan tingkah laku positif, dan menyediakan alternatif aktiviti luar talian yang menyeronokkan. Komunikasi terbuka perlu dibina agar anak berasa selamat berkongsi apa yang mereka lihat dan alami di dunia digital. Ingatlah, gajet tidak boleh menggantikan sentuhan, masa, dan peranan sebenar ibu bapa dalam membentuk sahsiah anak.

Peka dengan perubahan tingkah laku anak

Ibu bapa memegang peranan penting sebagai “pengesan awal” terhadap perubahan tingkah laku anak, kerana setiap perubahan kecil sering menjadi petunjuk kepada isu yang lebih besar. Peka bukan sekadar melihat dengan mata, tetapi membaca bahasa tubuh, nada suara, dan minat yang berubah. Seorang anak yang tiba-tiba enggan makan bersama keluarga, mengasingkan diri di bilik, atau menjadi mudah marah mungkin sedang menanggung tekanan emosi atau menjadi mangsa buli. Namun, peka sahaja tidak mencukupi tanpa tindakan susulan. Ibu bapa perlu kreatif membina komunikasi dua hala yang selamat, bukan dengan soalan terperangkap seperti “Kenapa kamu buat begini?” tetapi dengan pendekatan mesra seperti “Ibu/ayah perasan kamu nampak penat hari ini, nak kongsi cerita dengan ibu/ayah?”. Pendekatan ini membina rasa percaya dan membuka ruang anak berkongsi masalah tanpa takut dimarahi. Pada masa yang sama, ibu bapa harus bijak menggunakan rangkaian sokongan yang ada dalam ekosistem anak seperti guru, kaunselor, atau komuniti. Hubungan komunikasi ini penting untuk mendapatkan gambaran menyeluruh tentang perubahan anak. Sikap kritis diperlukan untuk membezakan sama ada tingkah laku anak hanyalah fasa perkembangan biasa atau isyarat kepada masalah serius. Ibu bapa jangan menjadi defensif jika anak menunjukkan tingkah laku negatif yang boleh membawa kepada gejala buli. Peka, kritis, kreatif dan tidak defensif inilah kombinasi yang membolehkan ibu bapa menjadi benteng awal pencegahan isu sosial seperti buli, sekaligus memastikan kesejahteraan emosi anak terpelihara.

Penutup

Buli boleh dicegah dari rumah dengan pendekatan yang betul, berhikmah dan berterusan. Ibu bapa menjadi guru pertama anak-anak yang bertanggungjawab mendidik dan membentuk peribadi anak untuk menjadi lebih kuat berpaksikan nilai-nilai murni. Proses ini memerlukan kesabaran, konsistensi, dan teladan yang baik daripada ibu bapa sendiri. Mendidik anak untuk membenci perbuatan buli bukan sekadar memberi larangan, tetapi membina kefahaman mengapa perbuatan itu salah dan bagaimana tindakan yang lebih baik boleh diambil. Ibu bapa yang terlibat secara aktif dalam kehidupan anak seperti mendengar luahan mereka, memahami emosi mereka, dan membimbing mereka mengurus konflik akan membantu anak membina daya tahan diri dan empati yang tinggi.

Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang erat menjadi benteng pertahanan anak daripada pengaruh negatif luar. Anak yang merasa disayangi dan dihargai di rumah lebih cenderung untuk menghargai orang lain dan tidak melakukan perbuatan yang menyakitkan hati. Ibu bapa perlu ingat bahawa membentuk peribadi anak adalah pelaburan jangka panjang; hasilnya mungkin tidak nampak segera, tetapi akan terserlah apabila anak membesar menjadi insan yang berakhlak mulia dan menghormati orang lain.

Akhirnya, pencegahan buli bermula dengan langkah kecil tetapi berterusan di rumah. Jika setiap ibu bapa memainkan peranan mereka dengan penuh kesedaran, kasih sayang, dan hikmah, kita mampu melahirkan generasi yang membina, bukannya meruntuhkan; yang memuliakan, bukannya menghina; dan yang menyebarkan kasih, bukannya kebencian. Rumah yang aman dan penuh nilai murni adalah benteng terbaik untuk mencegah budaya buli daripada terus berakar dalam masyarakat.

Try StoryTime Free for 7 Days!

Try StoryTime Free for 7 Days!

Try StoryTime Free for 7 Days!

StoryTime brings fun, creative and educational activities to curious minds aged 3-7

  1. Expert-designed activities

  2. Safe, ad-free digital space

  3. Foster creativity, critical thinking and storytelling