Cuti Sekolah dan Cabaran Mengawal Screen Time Anak
Bagaimana mengawalnya secara berhemah
Musim cuti sekolah kini datang kembali. Musim yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak dan masa yang paling menggembirakan buat mereka. Musim cuti sekolah juga sering dianggap sebagai waktu untuk kanak-kanak berehat dan meluangkan lebih banyak masa di rumah. Mereka juga beranggapan mereka akan bebas melakukan aktiviti yang mereka tidak dapat lakukan semasa musim persekolahan. Namun, bagi ibu-bapa, musim ini membawa cabaran yang besar, iaitu peningkatan Screen Time dalam kalangan anak-anak mereka.
Apakah itu Screen Time?
Screen Time merujuk kepada jumlah masa yang digunakan oleh kanak-kanak berada di hadapan skrin digital seperti telefon pintar, tablet, komputer, konsol permainan dan juga televisyen. Sepanjang musim cuti sekolah, apabila rutin persekolahan terhenti seketika dan ibu bapa pula masih bekerja, skrinlah menjadi peneman utama kanak-kanak di rumah.
Kita perlu menerima hakikat, Screen Time sukar untuk dielakkan dalam dunia hari ini. Walaupun ibu bapa memilih untuk tidak memberikan telefon pintar atau tablet kepada anak, televisyen tetap menjadi sebahagian daripada persekitaran rumah. Justeru, persoalan utama bukanlah untuk menghapuskan Screen Time, tetapi bagaimana mengawalnya secara berhemah, khususnya sepanjang musim cuti sekolah ini.
Bahaya Screen Time
Penggunaan skrin yang tidak terkawal seperti menonton secara pasif tanpa interaksi, menonton sendirian dalam tempoh masa yang lama, atau terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai boleh memberkesan yang negatif terhadap perkembangan emosi, sosial dan kognitif kanak-kanak. Dalam musim cuti sekolah, risiko ini boleh menjadi lebih serius jika tiada struktur dan perancangan aktiviti yang baik untuk kanak-kanak.
Apa yang Ibu Bapa boleh Lakukan?
Berikut dikongsikan tips untuk panduan ibu bapa:
1. Tetapkan jadual Screen Time
Cuti sekolah tidak bermakna tanpa peraturan. Cuti sekolah bukan bermakna anak-anak bebas melakukan apa sahaja. Walaupun tidak bersekolah, mereka perlu sedar bahawa di rumah juga punya peraturan. Ibu bapa disarankan menetapkan masa tertentu untuk Screen Time dan memaklumkannya kepada anak sejak awal. Apabila kanak-kanak mengetahui jadual harian mereka, mereka akan lebih bersedia apabila masa menonton tamat. Konsistensi ibu bapa dalam mematuhi jadual yang ditetapkan amat penting bagi melatih dan membina disiplin anak.
2. Rancang aktiviti yang seimbang sepanjang cuti sekolah
Cuti sekolah merupakan masa terbaik untuk merancang aktiviti yang menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak. Perkembangan ini meliputi aspek Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS). Aktiviti tidaklah perlu rumit atau mahal, memadai dengan aktiviti yang bersesuaian dengan umur, menyeronokkan dan bermakna. Apabila anak sibuk dengan aktiviti yang pelbagai, kebergantungan kepada skrin akan berkurang secara semulajadi.
3. Pastikan ibu dan ayah sehaluan
Dalam tempoh cuti sekolah, anak lebih banyak masa bersama keluarga. Oleh itu, kesepakatan antara ibu dan ayah amat penting. Peraturan berkaitan Screen Time perlu dipersetujui dan dilaksanakan bersama. Ketidaksepakatan ibu bapa bukan sahaja mengelirukan anak, malah melemahkan usaha membentuk disiplin yang konsisten.
4. Manfaatkan Screen Time sebagai aktiviti bersama
Cuti sekolah juga membuka ruang untuk ibu bapa meluangkan Screen Time secara berkualiti bersama anak. Menonton bersama, berbincang tentang kandungan dan mengaitkannya dengan kehidupan seharian menjadikan skrin sebagai alat pembelajaran, bukan sekadar hiburan pasif.
5. Seimbangkan dengan budaya membaca
Sepanjang cuti sekolah, ibu bapa boleh membina rutin membaca bersama anak sebagai pengimbang kepada Screen Time. Aktiviti membaca bukan sahaja menyokong perkembangan bahasa dan pemikiran, malah mengeratkan hubungan emosi antara ibu bapa dan anak.
Rutin Harian
Pengalaman menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai rutin harian semasa cuti sekolah lebih mudah menerima apabila Screen Time tamat. Mereka tidak mudah mengamuk kerana mengetahui aktiviti seterusnya yang telah dirancang. Sebagai langkah tambahan, penggunaan telefon pintar atau tablet secara bersendirian serta penggunaan skrin semasa wakti makan wajar dielakkan.
Perlu diingatkan bahawa pendekatan ini lebih sesuai untuk kanak-kanak tipikal yang berusia enam tahun ke bawah. Bagi kanak-kanak berkeperluan khas atau yang lebih berusia, strategi yang lebih khusus dan fleksibel mungkin diperlukan.
Musim cuti sekolah seharusnya menjadi ruang untuk membina kenangan bersama dan membentuk tabiat sihat, termasuklah dalam penggunaan teknologi. Dengan pengurusan Screen Time yang bijak, cuti sekolah boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk perkembangan anak yang lebih seimbang dan sihat.

